HENDAKLAH KITA MENJADI SEORANG YANG PEMAAF
Perbuatan memohon serta memberi kemaafan merupakan satu amalan yang
mulia disisi syarak. Oleh itu di antara adat resam orang Melayu ketika
menyambut Aidilfitri adalah dengan saling bermaafan di antara satu sama
lain. Ucapan yang paling sering kita dengar ketika sambutan Aidilfitri
adalah ‘maaf zahir dan batin’. Oleh itu sewajarnya untuk kita
membincangkan tentang bagaimana untuk menjadi seorang yang pemaaf
secara hakiki ketika kehangatan sambutan Aidilfitri semakin terasa.
Adakalanya kita merasakan begitu sukar untuk memaafkan orang yang
pernah melakukan kesilapan terhadap kita. Terkadang juga kita masih
terbawa-bawa dengan kesilapan yang telah dilakukan terhadap kita
bertahun-tahun yang lampau dan ianya masih lagi menjejaskan hubungan
kita dengan pihak tersebut. Ini sebenarnya secara tidak langsung
menyalahi perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. untuk mencintai sesama muslim. Sabda
Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam.:
Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia
mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya
sendiri. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 13)
APAKAH MAKNA MEMBERI KEMAAFAN
Erti memberi kemaafan adalah apabila seseorang itu mampu untuk
membalas kejahatan yang dilakukan terhadapnya atau menuntut sesuatu
dari mereka yang melakukan kesalahan tersebut namun dia tidak
melakukannya malah dia memaafkannya secara ikhlas demi mengharapkan
keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Sesungguhnya di dalam al-Qur’an terdapat sebuah kisah yang akan
lebih memperjelaskan makna memberi kemaafan. Nabi Yusuf a.s. merupakan
anak kesayangan bagi Nabi Ya’kub a.s. sehinggakan Nabi Yusuf dicemburui
oleh saudara-saudaranya yang lain. Lalu mereka mengkhinati Nabi Yusuf
dan mencampakkan baginda ke dalam sebuah perigi. Namun demikian baginda
telah diselamatkan oleh sekumpulan musafir dari negara Mesir lalu
mereka membawanya ke sana. Untuk dipendekkan cerita akhirnya Nabi Yusuf
telah dilantik oleh pemerintah Mesir untuk menjadi pembesar negara yang
bertanggungjawab menjaga perbendaharaan. Baginda kemudiannya
ditakdirkan untuk bertemu semula dengan saudara-saudaranya yang telah
mengkhianati baginda sebelum ini. Dengan kekuasaan yang ada pada tangan
baginda tentu sekali dengan mudah baginda mampu untuk membalas
perbuatan khianat saudara-saura kandungnya itu. Namun sikap pemaaf
baginda telah menghindarinya dari bersikap sedemikian rupa dan kisah
ini telah dirakamkan di dalam al-Qur’an melalui ayat-ayat di bawah:
Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? “
Ia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin).
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami.
Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah
tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan
dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu);
dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.
Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau
disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga
Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani
daripada segala yang lain yang mengasihani. (Yusuf (12) : 90-92)
KEUTAMAAN MEMBERI KEMAAFAN
Sikap pemaaf merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa
Orang yang bertaqwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah
Allah Subhanahu Wa Ta'ala. dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah Subhanahu Wa Ta'ala. telah
mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin
(orang yang bertaqwa). Firman-Nya:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk
mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang
bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi
orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya
pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya,
dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah
mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan (3) : 133-134)
Allah Subhanahu Wa Ta'ala. mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.
Dari ayat di atas ini juga dapat kita membuat kesimpulan bahawa
mereka yang pemaaf mudah mendapat keampunan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. dan akan
ditempatkan di syurga. Di ayat yang lain Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
… dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan
orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa
kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nuur (24) : 22)
Sikap pemaaf merupakan akhlak yang mulia yang dituntut oleh syarak
Sikap mudah memaafkan orang lain merupakan suatu akhlak yang mulia
lagi terpuji dan ianya tergolong dalam amalan yang amat digalakkan
perlaksanaannya oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.. Firman-Nya:
Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan
(kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah
dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (al-Syuura (42) : 43)
Allah Subhanahu Wa Ta'ala. mengasihi mereka yang pemaaf
Allah S.W.T. mengasihi mereka yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya:
… dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan
(ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara
yang baik. (Aali Imraan (3) : 134)
Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. akan mudah mendapat rahmat serta keampunan-Nya.
Demikianlah beberapa keutamaan yang sempat penulis ketengahkan untuk
menunjukkan betapa agungnya sikap mudah memaafkan serta melupakan
kesalahan orang lain terhadap kita.
NABI Shallallahu 'alaihi wasallam MERUPAKAN SEORANG YANG PEMAAF
Sesungguhnya Rasulullah merupakan sebaik-baik contoh ikutan
bagi seluruh umat manusia. Di antara contoh keperibadian yang tinggi
yang wujud dalam diri Rasulullah adalah sikap pemaaf baginda.
Hal ini dapat kita perhatikan di dalam banyak peristiwa yang terjadi
pada diri baginda melalui banyak riwayat-riwayat yang sabit. Namun
begitu memadai bagi penulis untuk menurunkan beberapa sahaja
hadis-hadis yang berkaitan. Aishah r.a berkata:
Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mempergunakan tangannya untuk
memukul isteri atau pelayan, kecuali ketika dalam perang fisabilillah
dan belum pernah Rasulullah diganggu lalu membalas kecuali jika
terlanggar suatu hukum Allah, maka dia membalas kerana Allah ‘Azza wa
Jalla. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2328)
Hadis di atas ini menjadi dalil bahawa sifat suka memberi kemaafan
ini harus sesuai dengan keadaan. Sekiranya hukum Allah Subhanahu Wa Ta'ala. ditolak
malah dihina, maruah umat Islam dicalar, maksiat berleluasa dan
lain-lain perbuatan berat yang menyalahi syarak maka sewajarnya untuk
kita memberi balasan ataupun tindakan yang sewajarnya. Sebagai
contohnya sekiranya ahli keluarga kita melakukan maksiat, tidaklah
semestinya untuk kita secara semberono memaafkannya tanpa memberi
hukuman yang setimpal. Sekiranya setelah ditegur ataupun diberi hukuman
setimpal dan dia menyedari akan kesilapannya serta bertaubat untuk
menjauhi perbuatan maksiat tersebut maka hendaklah kita memaafkannya
serta menyokong usahanya untuk berubah ke arah kebaikan.
Ibnu Mas’ud r.a berkata:
Seolah-olah saya masih melihat pada Rasulullah s.a.w. ketika kejadian
seorang Nabi yang dianiayai kaumnya hingga berlumuran darah, sambil
mengusap darah dari mukanya lalu bersabda: “Ya Allah, ampunkanlah
kaumku kerana mereka tidak mengetahui.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 3477)
Semoga riwayat-riwayat di atas akan dijadikan pedoman bagi kita untuk mudah memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.
CIRI-CIRI YANG PERLU ADA UNTUK MENJADI SEORANG YANG PEMAAF
Sesungguhnya terdapat beberapa kualiti diri yang perlu ada di dalam
diri masing-masing sebelum dapat menjadi seorang yang pemaaf. Tanpa
ciri-ciri tersebut tentu sekali amat sukar bagi sesiapa jua untuk
memaafkan mahupun melupakan kesalahan orang terhadap dirinya. Ciri-ciri
tersebut adalah:
Bersabar
Boleh dikatakan sikap sabar ini adalah pokok bagi bercambahnya
segala akhlak-akhlak yang mulia. Jika dilihat kepada sikap pemaaf yang
sedang kita perbincangkan ini, ianya hampir pasti tidak akan terlaksana
tanpat sifat sabar. Sekiranya seseorang membuat kesalahan terhadap kita
lantas kita hilang sabar maka ianya akan menimbulkan perasaan marah dan
sekiranya perasaan marah ini pula tidak dibendung ianya akan
menimbulkan pula perasaan dendam terhadap pelaku kesalahan tersebut.
Sebaliknya sekiranya kita mampu untuk bersabar terhadap kesalahan orang
lain terhadap kita maka kita akan lebih mudah untuk memaafkannya serta
melupakan segala kesalahan yang telah dilakukannya. Oleh itu tidaklah
menjadi satu hal yang aneh sekiranya Allah Subhanahu Wa Ta'ala. memberi ganjaran yang
amat besar bagi mereka yang penyabar. Firman-Nya:
Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang
berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah
kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia
ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah)
bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas).
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan
disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”. (al-Zumar (39) : 10)
Mengawal perasaan Marah
Perasaan marah merupakan satu senjata tipu daya syaitan untuk
memporak-perandakan hidup manusia. Syaitan sememangnya sentiasa ingin
melihat kehidupan manusia porak-peranda dan berduka-cita. Lalu
dibisikkan ke telinga-telinga manusia api kemarahan dan menghindari
sikap saling bermaafan untuk mengeruhkan lagi suasana. Ini sememangnya
tugas syaitan, musuh yang nyata bagi golongan yang beriman. Firman
Allah Subhanahu Wa Ta'ala.:
Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari
(hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman
berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka
sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah
hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. (al-Mujadalah (58) : 10)
Maka itu penting bagi kita untuk mangawal perasaan marah supaya
terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan
oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini ternyata amat
dititik-beratkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana apabila seorang sahabat
meminta nasihat daripada baginda Shallallahu 'alaihi wasallam. ternyata baginda bersada:
Jangan Marah.
Kemudian orang tersebut mengulangi permintaanya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab:
Jangan Marah. (Sila rujuk peristiwa ini di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6116)
Ternyata mengawal perasaan marah itu adalah penting di sisi Nabi
s.a.w. sehingga berulang-ulang kali baginda mengingatkannya kepada
sahabat tersebut. Baginda juga beranggapan bahawa bagi seseorang yang
mampu mengawal perasaan marah maka dia merupakan seorang yang gagah
perkasa. Sabdanya:
Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergulat (bergusti),
tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu
ketika marah. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih
al-Bukhari, hadis no: 6114)
Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga akan memberi ganjaran yang besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah bersabda:
[i]
Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk
melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat,
Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian
disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 2417)
Sebaiknya untuk kita meredakan perasaan marah kita terhadap
seseorang hendaklah kita fokuskan jiwa kita untuk melihat sudut positif
yang terdapat di dalam orang yang sedang kita marahi tersebut. Mungkin
terdapat banyak perkara-perkara baik yang pernah dia lakukan terhadap
kita yang sekiranya kita renungkan secara mendalam akan memadamkan api
kemarahan yang wujud di dalam jiwa kita. Sebagai contohnya apabila kita
marah melihat kesalahan yang dilakukan oleh isteri kita maka hendaklah
kita fokuskan perbuatan-perbuatan yang baik yang pernah dilakukannya
sepanjang perkahwinan kita. Rasulullah bersabda:
Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia
membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya
yang lain. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 1469)
Menghilangkan perasan dendam kesumat
Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan
dendam di dalam jiwa. Maka hati akan merasa berat untuk memaafkan
seseorang dan terbitlah perasaan benci serta perasaan ingin menjauhkan
diri daripada orang tersebut. Perasaan dendam juga akan menyebabkan
kita ingin menghukum pihak yang telah melakukan kesalahan terhadap
kita. Saidina Abu Bakar al-Shiddiq r.a pernah menghadapi masalah
perhubungan dengan salah seorang ahli keluarga beliau yang bernama
Misthah lalu beliau mengambil keputusan untuk tidak memberi nafkah
kepadanya kemudian turunlah firman Allah Ta’ala:
Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari
kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum
kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada
jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta
melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah
mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani. (al-Nuur (24) : 22)
Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan
yang dilakukan oleh orang lain dengan kejahatan yang lain. Jangan kita
membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan
caci-maki kerana ianya hanya akan mengeruhkan lagi suasana. Sabda
Rasulullah :
Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada di
dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda
yang ada di dalam diri orang tersebut. (Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim r.a)
Lemah lembut
Di antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan sikap saling
bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu.
Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian terutamanya dengan
sesama muslim merupakan satu akhlak yang terpuji dan mencerminkan budi
pekerti yang luhur dan kewarasan jiwa. Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
Wahai ‘Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai
kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) kelemah-lembutan apa yang
tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia
berikan atas (sebab) selainnya. (hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2593)
Dan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. juga telah menganugerahkan kepada Nabi-Nya sikap
lemah lembut terhadap umat manusia yang lain dan sikap ini merupakan
daya tarikan terhadap manusia disekelilingya terhadap dakwahnya.
Melalui sikap lemah-lembut ini jugalah membuahkan munculnya sifat suka
memaafkan kesalahan pihak lain. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala.:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah
(kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada
mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap
kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu
maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu),
dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian
apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat
sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi
orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Aali Imraan (3) : 159)
KESIMPULAN
Justeru itu hendaklah lafaz ‘maaf zahir dan batin’ yang kita ucapkan
pada hari lebaran ini kita lakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan
sekadar mengikut adat resam. Kita hendaklah menjadi seorang yang gemar
memaafkan kesalahan orang lain kerana sifat ini merupakan cerminan bagi
akhlak yang mulia dan ianya dituntut oleh syarak. Sikap saling
memaafkan ini merupakan salah satu dari ciri-ciri yang perlu wujud di
dalam masyarakat Islam demi untuk mengukuhkan perpaduan serta
persaudaraan yang kian terhakis. Perpecahan yang melanda umat Islam
telah melemahkan kita sehinggakan kita berantakan sesama sendiri
sedangkan pihak musuh Islam sentiasa menantikan ruang-ruang kelemahan
yang ada demi untuk meruntuhkan apa sahaja kekuatan yang masih wujud
pada umat Islam. Ingatlah bahawa semua umat Islam itu bersaudara dan
hindarkanlah dari berpecah-belah. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Dan berpegang
teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah
kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di
antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka
menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang
bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka
(disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan
kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah
menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat
petunjuk hidayahNya. (Aali Imraan (3) : 103)
Sumber: diambil dari al-fikrah.net
Tidak ada komentar:
Posting Komentar