Dalam kita menghadapi ujian, pasti ada jalan keluarnya.
Sebagai langkah pertama cuba fahami dan hayatilah pesanan Nabi Muhammad SHallallahu 'alaihi wasallam yang berbunyi, "sebaik-baik ibadah ialah sabar menunggu jalan keluar". Ini bermakna tidak ada satu ujian pun yang akan kekal.
Mana mungkin ada malam yang tidak ada siang, pagi tanpa digantikan
dengan petang, mana mungkin banjir berpanjangan dan tidak akan terjadi
kemarau berpanjangan. Jika ini kenyataan yang terjadi bermakna Allah
tidak pernah tidak adil pada makhluknya. Bagi memperhatikan lagi cinta
Allah pada makhluk-Nya dan membuktikan lagi kehebatan Allah Yang Maha
Adil maka dibekalkan makhluk-Nya dengan pesanan melalui surah Hud :81
yang berbunyi,
"Bukankah Subuh itu sudah tiba."
Subuh bermakna betapa pun panjangnya malam pekat pasti
akan bertemu dengan waktu tamatnya.
Oleh iu betapa pun berat dan panjangnya penderitaan yang ditanggung
oleh hamba Allah, Dia telah menjelaskan pasti Allah menemukan saat
penyembuhan untuk keluar daripada permasalahan itu. Subuh bermakna
cahaya fajar bagi orang yang ditimpa kesedihan itu telah menyerlah.
Maka pandai-pandailah merasai sapaan dan sentuhan suria pagi, tunggulah
panasnya bebola mentari pagi sebagai tanda bahawa kemenangan telah
datang dari Yang Maha Berkuasa.
Oleh itu, laluilah kehidupan dengan keyakinan,dan
rasailah sentuhan Allah tidak pernah putus kepada kita hamba-Nya. Ini
dipastikan dalam janji Allah bahawa Allah tidak pernah mengantuk, tidak
pernah penat, berhenti mengurus langit dan bumi serta seluruh isinya.
Anggaplah suatu permasalahan itu sebagai seperti seutas tali. Jika tali
itu sudah sangat tegang, maka ia akan segera putus. Ertinya jika
persoalan itu sudah kritis atau matang, maka tunggu kerana ia pasti
akan berhenti dan ditemukan dengan jalan keluar.
Allah akan pastikan setiap kesedihan dan kegembiraan itu menemui penghujungnya.
Ini ditegaskan lagi oleh Allah,
"Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah
nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan kemudahan dalam urusannya
(QS Ath-Thalaq:4).
Ini janji Allah yang sangat pasti, maka bangunkan
keyakinan dan panjatkan doa dan kesedihan kepada-Nya, pasti kita akan
berasa bahawa kesedihan tidak berpanjangan kerana Allah tidak
membenarkan keadaan itu terjadi selagi kita hambanya tidak berputus asa
dari rahmat Allah. Sebab itu Allah menjanjikan,
"Maka, sesungguhnya bersama dengan kesulitan
itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan."
(QS Al: Insyirah:5-6)
Dengan syarat kita yakin sepenuhnya bahawa apa yang kita
lakukan kerana Allah dan mahu mendapat reda Allah, bukan kerana manusia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar